Pada era globalisasi ini, kehidupan rakyat Malaysia menjadi semakin maju dan memerlukan penggunaan kos hidup yang tinggi. Kenaikan harga minyak baru-baru ini juga turut menyebabkan perbelanjaan untuk isi keluarga juga turut meningkat. Banyak keluhan dan rasa tidak puas hati diluahkan oleh rakyat kerana desakan hidup yang semakin menghimpit. Oleh itu, generasi muda perlu berjimat cermat dan sifat menabung perlu disemai dalam suasana ekonomi yang tidak menentu. Tidak dapat dinafikan bahawa amalan menabung amat penting dalam kehidupan manusia kerana pepatah Melayu ada menyebut bahawa sedikit demi sedikit, lama-lama menjadi bukit adalah amat sinonim dengan sifat menabung. Dalam hal ini, siapakah yang harus memberikan galakan kepada anak-anak untuk menabung? Amalan baik ini haruslah dididik oleh ibu bapa sejak kecil kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Sesungguhnya, amalan menabung wajiblah diamalkan kerana amalan ini akan mendatangkan impak yang positif kepada semua pihak.
Sudah terang lagi bersuluh bahawa kebaikan pertama ialah para pelajar dapat menyambung pelajaran dengan menggunakan wang tabungan sekiranya diperlukan. Hal ini dikatakan demikian kerana kos pengajian di peringkat universiti semakin meningkat. Bagi golongan miskin pula, wang pendaftaran sesi pengajian sahaja pun sukar untuk dibayar. Jika kita menabung, kita dapat menampung perbelanjaan persekolahan lain, seperti membeli buku-buku rujukan, membayar yuran sekolah dan yuran kelas bimbingan luar. Dalam hal ini, kita wajarlah membuka akaun di bank dengan bantuan daripada ibu bapa. Di samping itu, kita haruslah menabung dalam jumlah yang konsisten setiap bulan dan wang simpanan ini tidak dibelanjakan untuk kepentingan peribadi. Sikap boros dan berbelanja pada perkara yang tidak perlu haruslah dielakkan sama sekali. Sebagai kesannya, ibu bapa kita tidak perlu bergolok bergadai untuk membiayai kos pelajaran anak-anak yang mahal sekali. Orang tua pernah berkata sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna haruslah menjadi pedoman dalam amalan ini. Secara ringkasnya, kehidupan masa hadapan lebih terjamin dengan pembelajaran sepanjang hayat dijadikan landasan untuk berjaya sekiranya ada tabungan yang mencukupi.
Faedah kedua sekiranya seseorang itu mlakukan tabungan ialah wang tabungan itu dapat digunakan pada waktu kecemasan. Dana kecemasan ini cukup penting terutama buat individu yang sudah berkeluarga. Dana kecemasan biasanya adalah satu dana yang disimpan untuk membayar perbelanjaan di luar jangkaan. Peribahasa Melayu ada mengatakan bahawa malang tidak berbau, nasib buruk seseorang itu sukar dijangkakan oleh sesiapa. Oleh itu wang yang disimpan dapat membantu orang yang berada dalam keadaan kesusahan sebagai sumber kewangan. Misalnya, semasa dalam masalah kesihatan, ditimpa benca alam dan tragedi kemalangan jalan raya. Sudah pasti wang simpanan itu amat berguna untuk tujuan rawatan. Natijahnya, wang tersebut juga boleh membantu keluarga dan saudara kita apabila kecemasan berlaku. Dalam erti kata lain, wang tersebut dapat memudahkan segala urusan pada masa hadapan. Hal ini jelas dinyatakan dalam peribahasa sediakan payung sebelum hujan. Hakikatnya, amalan menabung merupakan persediaan kita untuk menghadapi saat-saat kecemasan yang tidak dapat dijangka oleh akal sama sekali.
Selain digunakan waktu kecemasan, kebaikan amalan menabung yang seterusnya ialah dapat melahirkan insan yang menyemai tabiat berjimat cermat. Tegasnya kepada kita bahawa orang yang sering mengalami kesempitan wang tidak berhemat dalam berbelanja. Selain itu, kita juga amat sukar untuk menyimpan wang sehinggakan kita terpaksa mengikat perut pada akhir bulan kerana sikap boros berbelanja. Dengan itu, sikap boros berbelanja ini sepatutnya diganti dengan didikan dan amalan menabung. Selaras dengan itu, kita juga wajarlah mengelak sikap suka berhutang dalam kalanga masyarakat. Seterusnya, kita juga digalakkan untuk merekod sesuatu perbelanjaan untuk mengenal pasti wang yang kita belanjakan itu. Sebagai impaknya, kita dapat mengelakkan diri daripada diburu oleh pemiutang atau diisytiharkan muflis apabila gagal membayar hutang. Sementara itu, sikap boros juga tidak akan berlaku dalam perbelanjaan seharian kita. Amalan menabung bertepatan dengan peribahasa sedikit demi sedikit, lama-lama menjadi bukit. Tegasnya, sikap berhemah dan bijak mengurus kewangan dalam diri sendiri akan dapat ditingkatkan dengan amalan menabung.
Amalan menabung juga penting untuk kelangsungan hidup pada hari tua nanti. Hal ini berpunca daripada masalah kesihatan pada hari tua kelak yang tidak dapat dijangkakan oleh sesiapa. Oleh itu, kita perlu menyimpan wang dari awal dan tidak boleh menunggu sehingga waktu yang sesuai. Dalam pada itu, seseorang yang menabung lebih awal maka wang simpanannya akan menjadi lebih banyak. Kehidupan kita pada hari tua kelak akan menjadi lebih selesa apabila tiada masalah kewangan kerana kita mendapat rawatan yang baik dan sempurna. Wang yang disimpan ini sangat penting digunakan untuk kos perubatan dan sara hidup kerana sudah bersara atau tidak bekerja. Amalan menabung sebenarnya mampu menjamin kestabilan hidup kita di dunia. Di samping itu, kemaslahatan diri dan keluarga akan terpelihara melalui amalan menabung. Kata aforisme berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, sersenang-senang kemudian haruslah menjadi panduan dalam mengamalkan amalan menabung. Tegasnya, masa depan kita untuk hari tua akan lebih terjamin apabila menabung.
Akhirulkalam, amalan menabung memberikan pelbagai manfaat kepada umat manusia sekiranya diurus dengan bijak dan berhemat. Dengan itu, kita sebagai rakyat Malaysia perlulah berfikiran positif untuk memastikan amalan menabung menjadi rutin kehidupan seluruh masyarakat Malaysia. Sikap bersungguh-sungguh perlu ada dalam diri untuk merealisasikan amalan menabung sebagai budaya kerana genggam bara api, biar sampai jadi arang. Seterusnya, kita wajarlah bijak merancang kewangan hidup kita dengan mengamalkan budaya menabung wang sejak kecil lagi supaya dapat merealisasikan impian diri sendiri malahan negara. Hakikatnya, kita juga perlu ingat bahawa amalan menabung akan membawa kepada hasil yang lumayan pada masa akan datang.