CARA PENULISAN KARANGAN FAKTA

Kebaikan Menabung

Bahasa Melayu Tingkatan Empat

Penulisan Karangan Fakta
Untuk menghasilkan karangan fakta yang baik, perkara berikut perlu diberi perhatian:
  • Anda perlu mempunyai pengetahuan yang luas dalam pelbagai bidang.
  • Sebelum menulis, pastikan bahawa anda menulis rangka karangan terlebih dahulu.
  • Rangka karangan penting kerana dapat dijadikan panduan ketika menulis karangan. Sekiranya anda membuat rangka karangan terlebih dahulu, karangan anda akan menjadi lebih tersusun serta tidak menyimpang daripada tajuk atau kehendak soalan.
  • Karangan anda mestilah merangkumi pendahuluan, isi dan penutup.
  • Isi atau fakta yang diberikan harus lengkap, tersusun dan menepati kehendak soalan.
  • Cara penyampaiannya juga mestilah ringkas serta menggunakan ayat serta kata yang mudah difahami.
  • Perenggan pendahuluan mestilah mengandungi definisi atau penerangan tentang tajuk yang diberi.
  • Untuk perenggan isi, berikan sekurang-kurangnya 3 atau 4 isi. Isi mestilah tepat dan bukan rekaan penulis semata-mata. Untuk memperkuatkan isi, maka perlu disertakan dengan huraian serta contoh.
  • Bagi perenggan penutup pula, berikan pendapat tentang perkara yang ditulis.



CARA PENULISAN KARANGAN FAKTA image

Rangka Karangan Fakta 

Tema      : Budaya Menabung

Tugasan : Kebaikan

Pendahuluan

- Kehidupan rakyat Malaysia menjadi semakin maju dan memerlukan penggunaan kos hidup yang tinggi

- Generasi muda perlu berjimat cermat dan sifat menabung perlu disemai

- Amalan menabung amat penting dalam kehidupan manusia

- Siapakah yang harus memberikan galakan kepada anak-anak untuk menabung?

- Amalan baik ini haruslah dididik oleh ibu bapa sejak kecil

- Amalan menabung akan mendatangkan impak yang positif

Isi-isi Penting

1) Menggunakan wang untuk menyambung pelajaran

- Kos pengajian semakin meningkat - menampung perbelanjaan persekolahan seperti membeli buku-buku rujukan, membayar yuran sekolah dan yuran kelas bimbingan luar

- Membuka akaun di bank dengan bantuan daripada ibu bapa - menabung dalam jumlah yang konsisten setiap bulan - wang simpanan tidak dibelanjakan untuk kepentingan peribadi

- Ibu bapa tidak perlu bergolok bergadai untuk membiayai kos pelajaran anak-anak

- Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna

- Kehidupan masa hadapan lebih terjamin sekiranya ada tabungan

2) Wang yang disimpan dapat digunakan pada waktu kecemasan

- Malang tidak berbau, nasib buruk seseorang itu sukar dijangkakan oleh sesiapa

- Membantu orang yang berada dalam kesusahan - digunakan untuk masalah kesihatan, ditimpa bencana alam dan tragedi kemalangan jalan raya

- Boleh membantu keluarga dan saudara kita apabila kecemasan berlaku - memudahkan segala urusan pada masa hadapan

- Sediakan payung sebelum hujan

- Bersedia menghadapi saat-saat kecemasan

3) Menyemai tabiat berjimat cermat

- Orang yang sering menghadapi kesempitan wang tidak berhemat dalam berbelanja

- Sikap boros berbelanja sepatutnya diganti dengan didikan dan amalan menabung - mengelakkan sikap suka berhutang dalam kalangan masyarakat

- Dapat mengelak daripada diburu oleh pemiutang atau diisytiharkan muflis apabila gagal membayar hutang - tidak akan boros dalam perbelanjaan seharian

- Amalan menabung bertepatan dengan peribahasa, sikit-sikit lama-lama jadi bukit

- Sikap berhemah dan bijak mengurus kewangan akan dapat ditingkatkan

4) Amalan menabung penting untuk hari tua

- Masalah kesihatan pada hari tua kelak tidak dapat dijangkakan - kehidupan akan menjadi lebih selesa apabila tiada masalah kewangan

- Digunakan untuk kos perubatan dan sara hidup kerana sudah tidak bekerja

- Mampu menjamin kestabilan hidup kita di dunia - kemaslahatan diri dan keluarga akan terpelihara - dapat menikmati kehidupan yang lebih gembira dan selesa

- Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian

- Masa depan kita leboh terjamin apabila menabung

Kesimpulan

- Amalan menabung memberikan pelbagai kemaslahatan kepada umat manusia

- Kita perlu berfikiran positif untuk memastikan amalan menabung dapat menjadi amalan masyarakat Malaysia - bijak merancang kewangan hidup kita dengan mengamalkan budaya menabung wang sejak kecil lagi

- Dapat merealisasikan impian diri sendiri malahan negara

22May

          Pada era globalisasi ini, kehidupan rakyat Malaysia menjadi semakin maju dan memerlukan penggunaan kos hidup yang tinggi. Kenaikan harga minyak baru-baru ini juga turut menyebabkan perbelanjaan untuk isi keluarga juga turut meningkat. Banyak keluhan dan rasa tidak puas hati diluahkan oleh rakyat kerana desakan hidup yang semakin menghimpit. Oleh itu, generasi muda perlu berjimat cermat dan sifat menabung perlu disemai dalam suasana ekonomi yang tidak menentu. Tidak dapat dinafikan bahawa amalan menabung amat penting dalam kehidupan manusia kerana pepatah Melayu ada menyebut bahawa sedikit demi sedikit, lama-lama menjadi bukit adalah amat sinonim dengan sifat menabung. Dalam hal ini, siapakah yang harus memberikan galakan kepada anak-anak untuk menabung? Amalan baik ini haruslah dididik oleh ibu bapa sejak kecil kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Sesungguhnya, amalan menabung wajiblah diamalkan kerana amalan ini akan mendatangkan impak yang positif kepada semua pihak.

          Sudah terang lagi bersuluh bahawa kebaikan pertama ialah para pelajar dapat menyambung pelajaran dengan menggunakan wang tabungan sekiranya diperlukan. Hal ini dikatakan demikian kerana kos pengajian di peringkat universiti semakin meningkat. Bagi golongan miskin pula, wang pendaftaran sesi pengajian sahaja pun sukar untuk dibayar. Jika kita menabung, kita dapat menampung perbelanjaan persekolahan lain, seperti membeli buku-buku rujukan, membayar yuran sekolah dan yuran kelas bimbingan luar. Dalam hal ini, kita wajarlah membuka akaun di bank dengan bantuan daripada ibu bapa. Di samping itu, kita haruslah menabung dalam jumlah yang konsisten setiap bulan dan wang simpanan ini tidak dibelanjakan untuk kepentingan peribadi. Sikap boros dan berbelanja pada perkara yang tidak perlu haruslah dielakkan sama sekali. Sebagai kesannya, ibu bapa kita tidak perlu bergolok bergadai untuk membiayai kos pelajaran anak-anak yang mahal sekali. Orang tua pernah berkata sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna haruslah menjadi pedoman dalam amalan ini. Secara ringkasnya, kehidupan masa hadapan lebih terjamin dengan pembelajaran sepanjang hayat dijadikan landasan untuk berjaya sekiranya ada tabungan yang mencukupi.

          Faedah kedua sekiranya seseorang itu mlakukan tabungan ialah wang tabungan itu dapat digunakan pada waktu kecemasan. Dana kecemasan ini cukup penting terutama buat individu yang sudah berkeluarga. Dana kecemasan biasanya adalah satu dana yang disimpan untuk membayar perbelanjaan di luar jangkaan. Peribahasa Melayu ada mengatakan bahawa malang tidak berbau, nasib buruk seseorang itu sukar dijangkakan oleh sesiapa. Oleh itu wang yang disimpan dapat membantu orang yang berada dalam keadaan kesusahan sebagai sumber kewangan. Misalnya, semasa dalam masalah kesihatan, ditimpa benca alam dan tragedi kemalangan jalan raya. Sudah pasti wang simpanan itu amat berguna untuk tujuan rawatan. Natijahnya, wang tersebut juga boleh membantu keluarga dan saudara kita apabila kecemasan berlaku. Dalam erti kata lain, wang tersebut dapat memudahkan segala urusan pada masa hadapan. Hal ini jelas dinyatakan dalam peribahasa sediakan payung sebelum hujan. Hakikatnya, amalan menabung merupakan persediaan kita untuk menghadapi saat-saat kecemasan yang tidak dapat dijangka oleh akal sama sekali.

          Selain digunakan waktu kecemasan, kebaikan amalan menabung yang seterusnya ialah dapat melahirkan insan yang menyemai tabiat berjimat cermat. Tegasnya kepada kita bahawa orang yang sering mengalami kesempitan wang tidak berhemat dalam berbelanja. Selain itu, kita juga amat sukar untuk menyimpan wang sehinggakan kita terpaksa mengikat perut pada akhir bulan kerana sikap boros berbelanja. Dengan itu, sikap boros berbelanja ini sepatutnya diganti dengan didikan dan amalan menabung. Selaras dengan itu, kita juga wajarlah mengelak sikap suka berhutang dalam kalanga masyarakat. Seterusnya, kita juga digalakkan untuk merekod sesuatu perbelanjaan untuk mengenal pasti wang yang kita belanjakan itu. Sebagai impaknya, kita dapat mengelakkan diri daripada diburu oleh pemiutang atau diisytiharkan muflis apabila gagal membayar hutang. Sementara itu, sikap boros juga tidak akan berlaku dalam perbelanjaan seharian kita. Amalan menabung bertepatan dengan peribahasa sedikit demi sedikit, lama-lama menjadi bukit. Tegasnya, sikap berhemah dan bijak mengurus kewangan dalam diri sendiri akan dapat ditingkatkan dengan amalan menabung.

          Amalan menabung juga penting untuk kelangsungan hidup pada hari tua nanti. Hal ini berpunca daripada masalah kesihatan pada hari tua kelak yang tidak dapat dijangkakan oleh sesiapa. Oleh itu, kita perlu menyimpan wang dari awal dan tidak boleh menunggu sehingga waktu yang sesuai. Dalam pada itu, seseorang yang menabung lebih awal maka wang simpanannya akan menjadi lebih banyak. Kehidupan kita pada hari tua kelak akan menjadi lebih selesa apabila tiada masalah kewangan kerana kita mendapat rawatan yang baik dan sempurna. Wang yang disimpan ini sangat penting digunakan untuk kos perubatan dan sara hidup kerana sudah bersara atau tidak bekerja. Amalan menabung sebenarnya mampu menjamin kestabilan hidup kita di dunia. Di samping itu, kemaslahatan diri dan keluarga akan terpelihara melalui amalan menabung. Kata aforisme berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, sersenang-senang kemudian haruslah menjadi panduan dalam mengamalkan amalan menabung. Tegasnya, masa depan kita untuk hari tua akan lebih terjamin apabila menabung.

          Akhirulkalam, amalan menabung memberikan pelbagai manfaat kepada umat manusia sekiranya diurus dengan bijak dan berhemat. Dengan itu, kita sebagai rakyat Malaysia perlulah berfikiran positif untuk memastikan amalan menabung menjadi rutin kehidupan seluruh masyarakat Malaysia. Sikap bersungguh-sungguh perlu ada dalam diri untuk merealisasikan amalan menabung sebagai budaya kerana genggam bara api, biar sampai jadi arang. Seterusnya, kita wajarlah bijak merancang kewangan hidup kita dengan mengamalkan budaya menabung wang sejak kecil lagi supaya dapat merealisasikan impian diri sendiri malahan negara. Hakikatnya, kita juga perlu ingat bahawa amalan menabung akan membawa kepada hasil yang lumayan pada masa akan datang.



TENTANG SAYA imageTENTANG SAYA image
NAMA : NURULJANNAH BINTI ROSLI.
NO MATRIK : D20171077708.
PENSYARAH : PROF. MADYA. DR. ADENAN BIN AYOB.

Bismillahirahmanirahim..

            Alhamdullilah,bersyukur ke atas Ilahi dengan limpahan rahmat serta nikmat masa,nyawa tenaga yang dianugerahkan kepada saya dapat juga saya menyiapkan tugasan ini dengan jayanya.

            Pertamanya, saya ingin mendedikasikan ucapan penghargaan ini kepada pensyarah tercinta saya, iaitu Prof Madya Dr. Adenan bin Ayob kerana telah memberi tunjuk ajar serta bimbingan sehingga saya mampu untuk menyiapkan tugasan ini dengan suksesnya.

            Saya juga ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada ibu bapa saya yang memberi saya pemudahcara untuk menyiapkan kerja kursus  ini. Mereka telah  memberikan saya segala kemudahan dan sokongan moral yang tidak terhingga sampai saya Berjaya menghabiskan tugasan ini.

            Ucapan penghargaan ini juga saya tujukan kepada rakan-rakan yang banyak memberi peringatan terhadap setiap apa yang saya telah alpa. Mereka membantu saya dengan menjawab setiap pertanyaan yang saya uterakan kepada mereka.

            Akhir madah, saya mengucapkan terima kasih kepada mereka yang terlibat secara langsung atau sebaliknya dalam pembikinan kerja kursus ini.Terima kasih.

Ahmad Kamal & Shamsudin Othman. (2009). 116 Contoh Karangan Terpilih Bahasa Melayu SPM. 

             Oxford Fajar Sdn. Bhd. Selangor.

Charles Ng Hon Yen & Shamsudin Othman. (2005). Contoh Karangan Pilihan Bahasa Melayu SPM.

               Fajar Bakti Sdn. Bhd. Selangor.

Mohamad Nasir bin Ibrahim. (2018). Penulisan Bahasa Melayu SPM. Ilmu Bakti Sdn. Bhd.

                   Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan.

https://www.sistemguruonline.my/2017/04/karangan.html 

https://www.youtube.com/watch?v=eGF0zx-UHK0&t=1s 

https://www.youtube.com/watch?v=jKTDPqrur38 

https://www.youtube.com/watch?v=A4jHMXHGqVU 

https://www.scribd.com/doc/239138662/Contoh-Karangan-Faedah-Menabung 

I BUILT MY SITE FOR FREE USING